Izzuddin Al Jitrawiy

Izzuddin Al Jitrawiy Adalah Penulis The Rise of Fallen Kingdom, Batalion Al Mahdi, Malacca Has Fallen & The Lost of Gold Island..

MUHAMMAD AL IZZUDDIN BIN MOHAMAD ROZALI atau lebih dikenali sebagai IZZUDDIN AL JITRAWIY dilahirkan pada 11 Mei 1993, di Kuantan, Pahang. Namun, beliau terus berpindah menetap di Jitra, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Kedah dan di Sekolah Menengah Agama Matang, Kuching, Sarawak. Menetap sekitar 12 tahun di Jitra, Kedah dan kemudiannya berpindah ke Kuching Sarawak serta menetap di sana sekitar 8 tahun. Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak di bawah JAKIM Sarawak dalam bidang Pengajian Islam dan Dakwah. Pada mulanya, beliau sangat aktif dalam medan dakwah serta penganjuran beberapa aktiviti belia dan juga event management di Sarawak. Kerap memberikan pengisian modul-modul dakwah berkaitan dengan remaja dan sangat aktif semasa beliau menetap di Sarawak sekitar 8 tahun. Semasa beliau melanjutkan pelajarannya, beliau sangat aktif dalam menyampaikan ceramah sekitar negeri Sarawak. Kerapkali dijemput untuk menyampaikan khutbah di masjid-masjid. Selepas tamat pengajian, beliau terus meneruskan khidmat di sebuah institusi pendidikan swasta iaitu Madrasah Syeikhul Ariffien, Jasin, Melaka sebagai tenaga pengajar dalam bidang akademik dan sejarah nusantara. Juga aktif menyampaikan kuliah mingguan di surau asrama Universiti Teknikal Malaysia UTEM yang terletak di Ayer Keroh Melaka. Dengan kelebihan beliau mempunyai tauliah mengajar daripada pihak Jabatan Agama Islam Melaka, proses penyebaran ilmu dijalankan dengan lancer tanpa sebarang sekatan. Selepas beberapa lama, beliau diserapkan ke sebuah institusi kajian iaitu Akademi Kajian Rantau Nusantara. Semasa tempoh berkhidmat inilah beliau bermusafir ke beberapa buah negara sekitar Nusantara antaranya Filipina, Vietnam, Kemboja, Indonesia serta beberapa tempat lagi. Sekitar 5 hingga 6 tahun beliau menghabiskan masa menimba ilmu, pengalaman serta banyak terlibat secara tidak langsung melawat serta membuat kajian di tempat-tempat bersejarah di sekitar Malaysia dan Nusantara.
Beliau antara anak muda yang berjaya mengketengahkan intipati sejarah yang dianggap bosan di mata anak-anak remaja, kini, sejarah dilihat sebagai suatu keperluan yang perlu diisikan ke dalam setiap jiwa anak-anak muda. Sekarang, beliau masih bergiat aktif dalam hal pengkajian sejarah secara tidak langsung, mengikuti seminar-seminar yang berkaitan dan juga ingin mewujudkan suatu kelompok anak-anak muda yang memahami asal usul bangsa nenek moyang terdahulu. Sejarah bukanlah suatu pembelajaran tetapi ianya sebuah nilai yang perlu di ‘install’ kan dengan betul dalam jiwa generasi bangsa kini. Sekarang, beliau meneruskan misi menyebar jati diri bangsa anak-anak muda melalui seminar-seminar jemputan ataupun forum-forum anjuran pihak berkaitan. Beliau juga aktif dalam beberapa platform media sosial antaranya di Instagram, Facebook dan Youtube Channel dan boleh dicari dengan kata kunci ‘Izzuddin Al Jitrawiy’. Syukur ke hadratNya, beliau telah mengeluarkan karya pertama iaitu Malacca Has Fallen ‘Keruntuhan Sebuah Empayar Agung’, sebuah karya epik sejarah yang kini mendapat sambutan luarbiasa daripada masyarakat umum khususnya anak-anak muda yang sedang kembali mencari identiti bangsa. Alhamdulillah, buku beliau seterusnya adalah The Lost of Gold Island, ‘Misteri Khazanah Tersembunyi Rebutan Dunia’, Kesatria Melayu, ‘Keperwiraan Bersulam Kesufian’ dan yang terbaru adalah Batalion Al Mahdi, Kebangkitan Ufuk Timur’. Moga-moga cetusan nukilan beliau dapat memberi inspirasi dan juga kesedaran kepada setiap pembaca khususnya anak-anak muda yang sedang menjejak kembali sejarah bangsa yang hilang.

Copyright © 2020 Izzuddin Al Jitrawiy | Developed by AlimAgency.com